BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 15, 2011

Perbetul niat dalam berfesyen



USIM – Cara pemakaian mengikut Islam mestilah diselari dengan niat yang betul supaya tidak terjerumus ke kancah maksiat.

Menurut Dr. Yasmin Hanani Mohd Sofian ketika berhujah dalam forum ‘Di Mana Batasan Kita’ yang berlangsung di DKP3 semalam, garis pemakaian secara Islam telah ditetapkan di dalam al-Quran dan dijelaskan lagi melalui hadis. Adalah musthil untuk orang Islam berpegang pada salah satu dan membelakangi yang lain.

Hal ini berikutan wujud segelintir golongan yang hanya berpegang kepada al-Quran dan menolak penjelasan serta mempersoalkan kesahihan hadis kerana tidak menepati kehendak mereka.

“Tujuan wanita berpakaian seksi adalah untuk menarik perhatian begitu juga wanita yang berpakaian elok kadangkala untuk menarik perhatian seseorang terutamanya yang diminatinya,” ucap beliau.
Sebagai wanita tidak dapat lari daripada perhiasan dan perhatian. Walau bagaimanapun, seseorang wanita hendaklah memperbetulkan niatnya dalam berpakaian supaya tidak menimbulkan fitnah.

“Dalam bab pemakaian, niat haruslah diperbetulkan supaya menutup aurat kerana Allah dan bukanlah untuk menonjolkan diri kepada sesiapa.

“Pakaian juga haruslah dilonggarkan dan tudung yang dipakai mestilah menutupi belahan dada supaya tidak menarik perhatian lelaki,” tambah beliau lagi.

Beliau turut menerangkan bahawa pemakaian jubah bukanlah simbol Islam kerana jubah yang ada sekarang kebanyakannya menampakkan susuk tubuh pemakai.

Menurut juara Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Asyraf, kepelbagaian fesyen yang dijaja atas nama Islam adakalanya bertentangan dengan Islam.

“Perkara sebegini boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan mencalarkan imej Islam itu sendiri,” kata beliau.

Pandangan sempit segelintir masyarakat yang menganggap Islam memenjarakan wanita dengan syariat berpakaian yang digariskan adalah pemikiran yang sempit kerana tujuan Islam adalah untuk menjaga kehormatan dan maruah wanita daripada pandangan lelaki.

“Tudung bukanlah penjara bagi wanita bahkan perlindungan kepada mereka kerana wanita diciptakan dengan penuh kecantikan yang mudah menarik perhatian.

“Mereka yang berpakaian mendedahkan aurat bukanlah tidak tahu hukum hakam tetapi mereka sebenarnya menolak kerana bertentangan dengan nafsu mereka,” tambah beliau.

Menurut beliau lagi, perubahan itu perlu bermula dengan diri sendiri dan jangan jadikan orang lain sebagai penghalang diri serta tidak menghiraukan umpatan dan kejian yang boleh melumpuhkan hasrat untuk berubah.

Madah bercili Ustaz Asyraf: “Bila orang suka memerhati, kita akan lebih menjadi-jadi.”

0 comments: